Wednesday, December 10, 2014

SAKIT PERUT YANG BERULANG-ULANG

Bilakah kanak-kanak dianggap mengalami sakit perut yang berulang-ulang (RAP) ?

PENGENALAN

Kanak-kanak sentiasa mengadu sakit perut. Sakit perut bukan satu penyakit tetapi ia adalah petanda masalah kesihatan/penyakit yang lain. Jika anak anda sering mengalami sakit perut dia mungkin sedang menderita RAP.

DEFINISI

Sakit perut yang berulang-ulang (RAP)
3 atau lebih kejadian sakit perut dalam masa 3 bulan.
Sakit perut sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.
Sakit yang amat sangat sehingga memberi kesan kepada kegiatan harian kanak-kanak
Kebiasaannya melibatkan kanak kanak yang berumur 4 – 16 tahun

ADAKAH MASALAH RAP INI SERIUS?

Insiden
Melibatkan 10 – 15% kanak kanak
Peringkat 1 : pada umur 5 – 7 tahun, kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai risiko yang sama.
Peringkat 2 : pada umur 8 – 12 tahun, kanak-kanak perempuan lebih cenderung untuk mengalami masalah ini.
80 – 90% berpunca dari gangguan fungsi organ atau psikologikal.

KENAPA KANAK-KANAK MENDAPAT RAP?

Sebab-sebabnya boleh diklasifikasikan kepada :

Psikologi

Dalam kes ini, sakit perut tidak disebabkan oleh penyakit organ di dalam perut. Sakit dipercayai berpunca dari tekanan, kerisauan dan kemurungan. Mekanisma sebenar bagaimana ini keadaan boleh terjadi tidak diketahui.




GANGGUAN FUNGSI ORGAN

Dalam kes ini, organ di dalam perut yang terlibat tidak berpenyakit tetapi fungsi organ ini menjadi tidak normal atau telah berubah disebabkan oleh interaksi di antara tubuh badan dan persekitaran.

Contohnya:
Alahan laktosa
Senggugut
Sembelit

Organik

Sakit perut ini adalah berpunca dari sesuatu penyakit.

Contohnya :
Radang usus (Inflammatory bowel disease)
Ulser perut (peptic ulcer) – lebih 50 % melibatkan kuman Helicobacter pylori
Jangkitan cacing
Radang di kawasan pelvis (pelvic inflammatory disease)
Ketumbuhan ovari

APAKAH CIRI-CIRI RAP DAN BAGAIMANA DIAGNOSA D BUAT?

Adalah penting untuk memeriksa kanak-kanak dengan teliti dan tanda-tanda penyakit ini bergantung kepada jenis RAP.

Jenis psikologi

Sakit terjadi sekali sehari atau kurang dari itu ( sekali dalam seminggu atau sebulan)
Sakit selalunya tidak melebihi satu jam.
Ia adalah sakit yang tidak spesifik, kadangkala rasa memulas atau kembung.
Sakit selalunya di sekeliling pusat (periumbilical)
Gejala yang tidak berpanjangan
Gejala tidak berkait dengan pemakanan, aktiviti hidup atau keadaan najis
Awas: Jika ada perubahan tempat atau corak kesakitan ini mungkin menandakan adanya penyakit yang lain.

Jenis gangguan fungsi organ
Sakit selalunya berkaitan dengan diet, cara makan atau tabiat membuang air besar.
Rasa memulas atau kembung perut
Lokasi kesakitan di perut bergantung kepada organ yang terlibat.

Jenis organik
Ciri ciri kesakitan bergantung kepada penyakit itu sendiri.
Demam, penurunan berat badan, pedih hati, cirit - birit dan lain-lain boleh menjadi tanda-tanda sakit perut organik.

Tanda-tanda lain:

Sakit kepala, pening, berpeluh-peluh, dan pucat biasanya lebih berkait dengan jenis RAP psikologikal.

Tanda-tanda di bawah pula biasanya lebih berkait dengan jenis RAP disebabkan oleh punca organik atau gangguan fungsi organ :
Letih
Tiada selera makan
Loya
Muntah
Cirit-birit
Sembelit
Sakit anggota kaki/tangan.

Diagnosa
Diagnosis ini sukar dibuat, oleh itu anda perlu jumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.
Jika anak anda mengalami sakit perut yang berulang-ulang, sebaiknya anda membawa anak berjumpa doktor ketika dia dalam kesakitan.
Bagaimanapun , dalam kebanyakan kes, kanak - kanak dibawa berjumpa doktor apabila mereka tidak lagi sakit perut, ini menyebabkan penilaian yang tepat sukar dibuat.
RAP selalunya berpunca dari sebab psikologikal atau gangguan fungsi organ. Pengambilan sejarah kesihatan pesakit yang teliti dan pemeriksaan oleh doktor selalunya membolehkan sakit RAP organik dapat dikecualikan.
Kebanyakan ujian dan prosedur tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan lebih tekanan kepada anak anda.

ADAKAH RAP DI KALANGAN KANAK-KANAK MEMBAWA KEMUDARATAN?

Kadangakala ia boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Komplikasi RAP psikologikal
Kesan Psikososial
Tidak pergi ke sekolah; mengganggu pelajaran
Menganggu hubungan persahabatan/ pergaulan
Mencegah anak untuk menghadiri aktiviti sekolah atau keluarga.
Menyebabkan perubahan tingkah laku
Terlalu bergantung kepada ibubapa hingga tidak mampu berdikari contohnya
selalu dijemput pulang ke rumah dari sekolah kerana sakit perut
ingin duduk di rumah sepanjang masa
sentiasa mengharapkan perhatian dari ibu bapa
Mengambil pelbagai jenis ubat

Dalam kes RAP psikiologikal, sakit perut biasanya berlarutan selama sejam tetapi kanak-kanak akan pulih sepenuhnya selepas itu. Menjemput anak dari sekolah atau membiarkannya tidak pergi ke sekolah bukanlah cara yang baik untuk mengatasi masalah ini,

Komplikasi RAP disebabkan oleh punca organik atau gangguan fungsi organ:

Ini bergantung kepada masalah yang berkaitan

BAGAIMANA RAP DI RAWAT?

Rawatan bergantung kepada jenis-jenis RAP.

Dalam kes RAP yang disebabkan oleh punca organik atau gangguan fungsi organ, doktor akan menggunakan pelbagai cara untuk menangani masalah ini termasuk saranan pemakanan yang seimbang atau ubat-ubatan.

Matlamat rawatan dalam RAP psikologikal:
Mengembalikan keadaan kepada normal dan mengurangkan kesakitan.

Strategi rawatan dalam RAP psikologikal
Menggalakkan anak berdikari
Tidak menggalakkan perangai yang negatif
Jangan membiarkan anak ponteng sekolah
Jangan menghalang anak dari mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah/keluarga
Jangan terlalu memanjakan anak
Mengenalpasti punca tekanan dalam hidup anak anda, dan cuba kurangkan tekanan atau membantu anak menangani masalahnya.

Perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika anak anda mengalami kesakitan
Cuba alihkan perhatian anak anda dari kesakitannya dengan aktiviti yang menarik contohnya bermain dengan patung
Kurangkan tekanan contohnya dengan menarik dan menghembus nafas perlahan-lahan

Ubat-ubatan selalunya tidak berkesan. Dapatkan nasihat doktor.

Rawatan RAP yang disebabkan oleh gangguan fungsi organ

Kenalpasti dan rawat masalah yang berkaitan.
Pendidikan
Tukar tabiat makan – contohnya cuba makanan yang tidak mengandungi laktosa jika anak anda alah laktosa atau makanan yang tinggi serat dalam kes sembelit, elakkan makanan yang mengandungi banyak lemak dan kafein.
Buang air besar dengan kerap
Ubat tahan sakit – contohnya gunakan Panadol untuk senggugut

Rawatan RAP organik

Ini bergantung kepada masalah berkaitan.

ADAKAH LANGKAH YANG BOLEH DI AMBIL UNTUK MENGELAKKAN RAP YANG PSIKOLOGIKAL?

Anda patut mengenalpasti faktor-faktor yang boleh mempengaruhi tingkahlaku anak dan dapatkan bantuan pakar jika perlu. Faktor-faktor ini termasuk:
Anak anda mungkin anak tunggal atau bongsu
Anda mungkin terlalu melindungi atau terlalu risaukan anak anda sepanjang masa
Anda selalu terlibat dalam aktiviti anak anda
Mungkin ada ahli keluarga anda yang lain yang sedang menderita dari penyakit-penyakit kronik yang lain
Anak anda seringkali menunjukkan perangai yang tidak matang, terlalu bergantung dan selalu marah atau merajuk.
Semakan akhir : 14 Julai 2006
Penterjemah : Pn. Faridah Bt. Ahmad Sheikh

Sumber kredit: http://www.myhealth.gov

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...